Pinjaman perumahan tidak diketatkan - Zeti
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menjelaskan pinjaman perumahan tidak diketatkan bagi pembeli rumah mampu milik kali pertama. "Syarat yang diketatkan ialah bagi pembelian hartanah kediaman kali ketiga untuk mengelak risiko keadaan hutang yang berlebihan di negara ini," kata Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Beliau berkata demikian kepada media pada pengumuman Laporan Tahunan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (FSA) 2014, di sini hari ini.

"Semua peminjam perlu lulus penilaian kemampuan. Kami melakukan ini sebagai panduan kepada bank untuk mengelak risiko keadaan hutang yang berlebihan," katanya. Zeti menjawab soalan sama ada dasar BNM ke atas kelulusan pinjaman perumahan terlalu ketat dan jumlah permohonan yang ditolak tinggi menyebabkan ramai pemaju menangguhkan pelancaran hartanah. Baru-baru ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim adalah antara yang dipetik media sebagai berkata bahawa kerajaan negeri menerima aduan daripada pembeli rumah kali pertama yang layak dari segi kewangan tetapi pinjaman mereka ditolak oleh bank. Sementara itu, Zeti berkata negara masih berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini dijangka pada purata, lima peratus. - BERNAMA Selanjutnya di : bharian