Awqaf galak pemilikan aset hartanah Islam
KUALA LUMPUR 4 Jun - Awqaf Holdings Berhad (Awqaf) membuka peluang kepada semua umat Islam dan golongan ahli perniagaan di negara ini untuk melabur sambil berwakaf di bawah Projek Taman Korporat Awqaf di Putrajaya menerusi Tawaran Awam Istimewa Wakaf Korporat.
Pengerusinya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, pelaburan dalam Fasa 1, Pusat Perniagaan, Taman Korporat Putrajaya itu memberi peluang kepada mereka untuk memiliki aset di Pusat Bisnes Putrajaya (CBP) yang berpotensi menaikan nilainya pada masa hadapan.
Katanya, projek tersebut yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun mampu memberi keuntungan bersih sebanyak RM50 juta melalui pemilikan aset hartanah berkenaan.
“Kita berharap, hasil keuntungan bersih ini dapat digunakan sebagai pelaburan untuk aset hartanah lain pada masa hadapan dan melaksanakan program tanggungjawab sosial, antaranya, Zuriat Care bagi menangani masalah pembuangan bayi dan program kahwin beramai-ramai dengan kos yang rendah.
“Dalam erti kata lain, ini merupakan satu peluang terbaik bagi ahli perniagaan kelas sederhana dan menengah memiliki harta dan aset berkualiti untuk menambah profil aset masing-masing bagi membina keupayaan umat Islam untuk maju ke hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Di bawah strategi yang diperkenalkan Awqaf, mereka yang berminat boleh menjadi Ahli Awqaf dengan mewakafkan yuran ahli bagi menikmati peluang istimewa melabur dalam projek Awqaf selain digalakkan mewakafkan wang tunai atau aset tambahan.
Awqaf ialah sebuah syarikat dengan jaminan yang ditubuhkan oleh Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) pada 3 September 2012, di bawah Akta Syarikat 1965.
Pada 26 Mac lalu, Awqaf bersama Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PjH), telah memeterai perjanjian jual beli tanah seluas 0.89 hektar yang bernilai RM32 juta di Lot 3C1, Presint 3, Putrajaya.
Pembelian tanah tersebut bertujuan untuk membangunkan projek taman korporat yang mengandungi kompleks pejabat dan ruang komersial dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM300 juta.
Muhammad Ali yang juga Presiden DPIM berkata, menerusi kaedah itu, Awqaf yakin dapat menambah bilangan umat Islam memiliki harta menepati Maqasid Syariah mengenai harta kekayaan dan meningkatkan kemampuan mereka untuk terus berwakaf pada masa depan.
sumber dari Utusan.com