Mustapha Kamal - Peneraju Hartanah Masa Kini
![Mustapha Kamal-030611 (2).jpg](https://static.wixstatic.com/media/3267d0_cff17ff4e76a4119b9e7fad27ee8afdb.jpg/v1/fill/w_400,h_355,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/3267d0_cff17ff4e76a4119b9e7fad27ee8afdb.jpg)
“SELAMAT datang kepada semua anak-anak pak cik, maaf, pak cik tak berapa sihat hari ini tapi pak cik kuatkan diri juga untuk datang. Terima kasih kerana anak-anak pak cik membuat pilihan untuk melawat galeri ini.” Pak cik. Begitulah kata ganti diri yang mesra dan merendah diri, telah diungkapkannya sepanjang pertemuan dengan kumpulan pengunjung bertuah. Kata-kata itu sebenarnya adalah ucapan pembukaan daripada seorang tokoh perniagaan terulung iaitu Pengerusi Kumpulan Emkay Land, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, 63, kepada 108 orang pelajar Kolej PTPL yang bertandang ke Galeri Emkay. Seperti kata Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan Emkay, Sam Kamar Osman, sifat tersebut adalah pesona semula jadi seorang aristokrat yang unggul dalam dunia hartanah itu. Kata Sam, majikannya itu seorang bersifat kebapaan dan suka mendekati serta memberi semangat kepada generasi muda. Ternyata, sifat yang terbit daripada diri Mustapha telah menyimpulkan satu persepsi di luar kotak pemikiran kita. Meskipun beliau berada di puncak kejayaan, sikap kesederhanaannya menyentuh perasaan hadirin yang hadir. Mustapha yang mengaku diri beliau ialah cucu seorang penjual sayur itu sangat menghormati pengunjung yang hadir ke galerinya. Ibarat rutin, organisasi yang membawa kumpulan pengunjung dalam jumlah besar akan dilayan olehnya. Mustapha yang sesekali menyelitkan humor dalam bicara tidak keberatan untuk menceritakan sendiri kisah di sebalik galeri itu. Galeri Emkay adalah galeri yang mengisahkan titian perjalanan Mustapha bermula pada zaman kanak-kanak sehingga ke hari ini. Ilham, reka bentuk dan konsep galeri yang dibuka pada tahun lalu itu adalah ilham beliau sendiri. Perasaan kagum dan teruja dapat dirasakan saat seseorang melangkah masuk ke galeri seluas 284.6 meter persegi yang terletak di Menara Mustapha Kamal di PJ Trade Centre, Damansara Perdana, Petaling Jaya.
Aura galeri yang memiliki seni reka sofistikated itu berupaya menyalakan ghairah pengunjung untuk mendalami historiografi di sebalik kisah hidup seorang tokoh yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Ispirasi boleh ditemui di setiap sudut galeri tersebut. Itu termasuklah serangkap puisi yang bertajuk Meniti Perjalanan Ke Puncak yang dibingkaikan bersebelahan potret Mustapha dan isteri beliau, Puan Sri Wan Nong Wan Ibrahim, 60. Antara bait-bait puisi itu berbunyi: “Emkay, lahir bukan atas nasib, lahir bukan atas tuah, tapi lahir atas keinsafan, atas keyakinan.” Baris ayat itu sesungguhnya memberi satu ilustrasi jelas kepada pengunjung bahawa kejayaan yang dirangkulnya kini bukan datang bergolek. Barangkali kunjungan pengunjung ke situ akan memberi jawapan mengenai Mustapha yang begitu lancar bermain bahasa dan puisi. Beliau sebenarnya ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) di Universiti Malaya (UM). Galeri biografi Mustapha diatur secara sistematik iaitu bermula dengan pembahagian panel penceritaan mengikut tema seperti Perjalanan Kisah Kehidupan, Misi Kerjaya, Kasih Sayang dan Kekeluargaan, Semangat Kesungguhan dan Kemasyarakatan, serta Suatu Warisanoa dan Harapan.
Sumber dari :Carigold.com